Berapa ramaikah masyarakat Melayu tahu mengenai Pantun? Rata-rata masyarakat Melayu mengetahui bahawa Pantun adalah salah satu puisi lama Melayu dan Pantun juga selalu digunakan dalam majlis-majlis keramaian termasuk perkahwinan semasa proses meminang.
Tetapi sejauh manakah masyarakat Melayu tahu berpantun? Boleh berfikir dan berpantun secara spontan? Berapa ramaikah yang tahu garis panduan membentuk sebuah Pantun yang baik? Penulis percaya ramai yang masih sayangkan Pantun Melayu dan masih ramai lagi generasi kita tahu berpantun. Tetapi penulis percaya untuk melahirkan sebuah Pantun yang baik, masih ramai lagi yang kurang arif.
Penulis pernah mengupas Pantun Melayu dengan panjang lebar dalam sebuah artikel sebelum ini. Secara kesimpulannya, untuk membuat sebuah Pantun yang baik, syarat-syarat di bawah harus dipatuhi.
1. Jenis Pantun: 2, 4, 6, 8, 10, 12 kerat dan Pantun berkait.
2. Rima: rima akhir baris pertama sama dengan rima akhir baris ke-3, manakala rima akhir baris ke-2 sama dengan rima akhir baris ke-4.
3. Mempunyai pembayang maksud dan maksud: 2 baris pertama dinamakan pembayang maksud, manakala 2 baris terakhir dinamakan maksud.
4. Empat baris serangkap. Setiap baris, 3 hingga 4 patah perkataan, mengandungi 8 hingga 12 suku kata.
Contoh Pantun 4 kerat
Yang kurik itu kendi (Pembayang maksud 1)
Yang merak itu saga (Pembayang maksud 2)
Yang baik itu budi (Maksud 1)
Yang indah itu bahasa (Maksud 2)
Penjelasan
1. Pembaca boleh memikirkan Maksud atau Pembayang Maksud sebelum menghasilkan sebuah Pantun. Contohnya,
Yang baik itu budi (Maksud 1- 4 patah perkataan dan 7 suku kata)
Yang indah itu bahasa (Maksud 2 – 4 patah perkataan dan 8 suku kata)
Kemudian, barulah pembaca memikirkan pula Pembayang Maksud. Harus diingat untuk menghasilkan pembayang maksud harus menjurus kepada beberapa petua. Pembaca harus kreatif dan berfikiran terbuka. Harus banyak membaca dan kaya dengan kosa kata… barulah boleh berfikir secara kreatif dan spontan. Bab ini, kadang-kadang penulis juga buntu memikirkan perkataan yang sesuai dan mempunyai hubung kait antara satu sama lain serta mempunyai maksud yang ingin di sampaikan. Antara petua yang digunakan ialah perkataan harus menjurus kepada alam dan benda di sekeliling kita. Contoh pantun seperti,
Pisang Emas dibawa belayar (Pisang Emas: makanan/benda)
Masak sebiji di atas peti (Tempoh yang lama sehingga pisang masak)
2. Boleh juga mengilhamkan pembayang maksud dahulu sebelum maksud. Contohnya dalam pantun 2 kerat,
Gendang gendut tali kecapi (Pembayang Maksud – 4 patah perkataan dan 9 suku kata)
Kenyang perut suka hati (Maksud – 4 patah perkataan dan 8 suku kata)
3. Setiap baris harus tidak lari dari 4 patah perkataan dan 8 hingga 12 suku kata, seperti contoh di atas.
Bagaimana pula dengan pantun 2 kerat ini…. “Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”..
Pantun di atas mempunyai 5 patah perkataan dan 13 suku kata pada pembayang maksudnya. Pantun ini lari dari syarat pantun dan boleh dianggap sumbang.
Secara kesimpulannya, menghasilkan sebuah Pantun yang baik memerlukan daya fikiran kreatif dan kaya dengan perbendaharaan kata. Barulah Pantun yang dihasilkan sedap didengar dan bermutu. Seandainya kita boleh bercakap dalam bahasa Pantun setiap hari, alangkahkah indahnya.
0 Comments:
Posting Lebih Baru Posting Lama Beranda